Skip to main content

Aura Kesidang Raih Anugerah Emas (Gold Award) ICQCC 2016

Aura Kesidang Raih Anugerah Emas (Gold Award) ICQCC 2016


23 - 25 Ogos 2016, Kumpulan Aura Kesidang Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah melakar sejarah penglibatan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di peringkat antarabangsa apabila kumpulan tersebut telah memperolehi Anugerah Emas (Gold Award) di International Convention On Quality Control Cicles (ICQCC) 2016 di Bangkok Thailand. Kumpulan Aura Kesidang mempertandingkan projek “Two Easy” pada konvensyen tersebut yang mana melibatkan inovasi proses kerja bagi kes Sulh yang gagal di peringkat Majlis Sulh. Tuan Abu Suffian Bin Abu Yaziz, Ketua Pendaftar telah mengetuai penyertaan ke Bangkok selaku Pemerhati bersama semua ahli kumpulan Aura Kesidang yang terdiri daripada Puan Aisah Binti Saleh, Puan Norazita Binti Mohd Ali, Puan Norazila Binti Mohd Ali dan Encik Ahmad Hambali Bin Mohamad Ali. Perbadanan Produktiviti Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysia Productivity Corporation (MPC) adalah badan yang menguruskan penyertaan semua kumpulan KIK daripada Malaysia ke Bangkok.

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Kejayaan Anugerah Emas ini telah dikongsi bersama 38 kumpulan lain daripada Malaysia yang turut mendapat Anugerah Emas. Konvensyen ini melibatkan 12 negara lain yang turut bertanding mengikut kategori pengurusan dan juga teknikal seperti India, Singapore, Indonesia. China, Korea, Jepun, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, Philipina, dan Bangladesh. Mahkamah Syariah lain yang turut mempertandingkan projek KIK adalah Kumpulan Syariah World Class daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu. Penganjuran ICQCC kali ini adalah anjuran The Association of QC Headquarters of Thailand. Konvensyen tersebut telah diadakan di The Centara Grand di Central Plaza Ladprao Bangkok Hotel.

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Pendaftaran semua kumpulan yang bertanding telah diadakan pada 23 Ogos 2016 dan sebanyak 10 kumpulan yang membuat persembahan pada hari pertama dan kesemua kumpulan telah memperolehi Anugerah Emas pada sessi penyerahan anugerah di stream masing-masing. Program diteruskan dengan Welcome Reception yang bertemakan Cocktail telah diadakan di Viphavadee Ballroom.  Pada 24 Ogos 2016, sebanyak 19 kumpulan lagi telah berentap bersama kumpulan daripada negara-negara lain. Debaran kian terasa pabila kesemua kumpulan Malaysia yang bertanding pada hari kedua turut mendapat Anugerah Emas.

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Berkat usaha dan komitmen semua ahli kumpulan Aura Kesidang, debaran telah terjawab apabila dianugerahkan Anugerah Emas dalam persembahan di hari ketiga pada 25 Ogos 2016. ICQCC 2016 telah ditutup tirainya pada Majlis Penutup dan Persembahan Kebudayaan yang diadakan di Viphavadee Ballroom berkonsepkan buffet antarabangsa. Selain daripada itu, pada 26 Ogos 2016, MPC juga telah menganjurkan lawatan industri ke beberapa buah kilang di Bangkok bagi tujuan untuk mempelajari aktiviti inovasi yang telah dilaksanakan dan semua peserta telah memberikan respon dan input yang positif hasil daripada lawatan tersebut.

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

Sekalung penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka, pengurusan tertinggi dan semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka, serta MPC yang telah berusaha untuk memastikan penyertaan kumpulan Aura Kesidang Mahkamah Syariah Negeri Melaka di persada antarabangsa ini. Terima kasih atas peluang yang sangat berharga, pengalaman yang tidak ternilai dan ilmu yang bermanfaat hasil daripada konvensyen tersebut. Sesungguhnya kejayaan ini adalah kejayaan semua pihak.

Anugerah Emas Aura Kesidang ICQCC Bangkok

 

Berita Oleh : Aisah binti Saleh